Wasiat Kepada Waris: Antara Ijtihad Negeri Di Malaysia

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan harta.

Isi Kandungan

Pendahuluan

Dalam wacana perwarisan Islam, topik wasiat kepada waris sering menimbulkan kekeliruan, lebih-lebih lagi dalam konteks perundangan Syariah di Malaysia yang berbeza mengikut negeri. Secara asasnya, hadis Nabi SAW yang masyhur menyebut:

“لا وصية لوارث”
“Tiada wasiat kepada waris.”
— Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah

Namun, bagaimana pula apabila wujud enakmen negeri yang membenarkan wasiat kepada waris, tanpa syarat persetujuan waris lain, asalkan tidak melebihi 1/3 harta?

Asas Syariah: Larangan Wasiat Kepada Waris

Dalam Mazhab Syafi‘i (yang menjadi mazhab rasmi negara), hadis ini difahami secara literal dan qat‘ie tidak dibenarkan membuat wasiat kepada mana-mana waris yang berhak menerima harta melalui faraid, melainkan semua waris bersetuju secara sukarela selepas kematian pewasiat.

Tujuannya adalah untuk menjaga keadilan dan mengelakkan kelebihan yang tidak syarie kepada mana-mana waris, kerana waris sudah pun berhak melalui sistem faraid.

Realiti Undang-Undang Negeri: Enakmen Wasiat

Namun, beberapa negeri di Malaysia telah menggubal Enakmen Wasiat Orang Islam yang mengambil pendekatan berbeza dan lebih fleksibel.

Antara yang menarik perhatian adalah Seksyen 26(2), Enakmen Wasiat Orang Islam Sabah 2018, yang menyatakan:

“Sesuatu wasiat yang dibuat kepada seseorang waris atas kadar yang melebihi satu pertiga, hendaklah tidak berkuat kuasa sehingga diberi persetujuan oleh waris-warisnya selepas kematian pewasiat.”

Apa maksudnya secara mafhum mukhalafah (pemahaman sebaliknya)?

Jika melebihi 1/3 perlukan izin waris, maka kurang atau sama dengan 1/3, tidak perlu izin waris.

Maknanya, Sabah secara sah membenarkan wasiat kepada waris tanpa syarat persetujuan, jika wasiat itu tidak melebihi satu pertiga harta pusaka selepas ditolak hutang.

Perbandingan Negeri: Siapa Benarkan dan Siapa Tidak?

Negeri yang membenarkan wasiat kepada waris tanpa persetujuan (sehingga 1/3):

NegeriTahun EnakmenRujukanStatus
Negeri Sembilan2004Enakmen Wasiat NSBoleh
Melaka2005Enakmen Wasiat MelakaBoleh
Sabah2018Enakmen Wasiat SabahBoleh
KelantanTiada Enakmen, berdasarkan fatwa dan amalanBoleh

Negeri yang tidak membenarkan wasiat kepada waris tanpa persetujuan:

NegeriStatus
SelangorAsal benarkan, tetapi telah pinda pada tahun 2016 – kini tidak benarkan
PahangIkut pendekatan Selangor – tidak benarkan
Perlis, Sarawak, Wilayah PersekutuanMasih mengikut mazhab Syafie secara literal

Apa Implikasi Kepada Umat Islam?

1) Rakyat perlu tahu negeri asal dan kediaman tetap mereka, kerana ini menentukan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan kesahan dokumen wasiat.

2) Perancang harta perlu lebih cakna dalam memahami dasar hukum negeri berkenaan – kerana tidak semua amalan negeri selaras.

3) Sebarang wasiat kepada waris, walaupun hanya 1/3, masih perlu dirujuk kepada perundangan negeri – jangan bergantung kepada persepsi umum semata-mata.

Penutup

Isu wasiat kepada waris bukan semata-mata soal hukum, tetapi juga soal ijtihad negeri dan pemakaian enakmen secara praktikal. Di kala negeri seperti Sabah memilih untuk mengekalkan kelonggaran yang pernah diamalkan di Selangor, negeri lain pula semakin ketat dan berhati-hati.

Apa pun, perkara ini menunjukkan betapa pentingnya ilmu dan kefahaman perundangan dalam perancangan harta Islam, agar setiap wasiat yang dibuat benar-benar membawa manfaat dan tidak menimbulkan pertikaian di kemudian hari.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang perancangan dan solusi harta ini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top