fbpx

Penjelasan: Salahkah Wasiat Kepada Waris?

Saya, Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Timbul isu di dalam masyarakat kita tentang wasiat kepada waris. Jom saya perjelaskan dalam perkongsian kali ini.

Penjelasan

Isu wasiat kepada waris ini menjadi fenomena atau sememangnya menjadi kebiasaan orang kita. Hakikatnya ramai tidak tahu hukum berkenaan dengan wasiat kepada waris.

Pendapat Ulama’

Para ulama berbeza pendapat tentang wasiat kepada waris:

Pertama, Ibn Hazm dan mazhab Maliki mengatakan, “Wasiat kepada waris tidak sah sama sekali, sama ada para waris mengizinkannya atau tidak, kerana sabda Nabi SAW bersabda:

لا وصية لوارث

Maksudnya: “Tiada wasiat bagi waris.” Ibn Hazm menjelaskan bahawa Allah SWT telah melarangnya, jadi para waris tidak boleh mengizinkan apa yang telah Allah batal pada lidah Rasul-Nya SAW. Jika para waris mengizinkannya, itu adalah pemberian dari mereka sendiri, maka itu adalah milik mereka.”

Kedua, mazhab Syafie mengatakan, “Wasiat kepada waris adalah sah tetapi bergantung pada keizinan para waris selepas kematian. Jika mereka menolaknya, wasiat itu batal, dan jika mereka mengizinkannya, wasiat itu sah berdasarkan hadith dari Baihaqi yang menyatakan bahwa Nabi SAW bersabda:

ولا وصية لوارث إلا أن يجيز الورثة

Maksudnya: “Tiada wasiat bagi waris kecuali jika para waris mengizinkannya.” Ini menunjukkan bahawa hak itu milik mereka, dan jika mereka mengizinkannya, mereka telah rela melepaskan hak mereka sehingga penghalang terangkat.

Ketiga, mazhab Hanafi menyatakan bahwa wasiat kepada waris, walaupun sedikit, tidak sah kecuali dengan keizinan para waris setelah kematian orang yang membuat wasiat. Hujahnya adalah kerana Nabi SAW bersabda:

إن الله أعطى كل ذى حق حقه فلا وصية لوارث

Maksudnya: “Allah telah memberikan setiap orang haknya, jadi tidak ada wasiat untuk waris”, dan kerana ia mungkin menyebabkan penderitaan bagi beberapa orang dengan keutamaan kepada yang lain, mengizinkannya dapat menyebabkan pemutusan tali silaturahim. Status seseorang sebagai waris atau bukan pada saat kematian, bukan pada waktu wasiat, karena wasiat adalah pemberian yang berlaku setelah kematian. Namun, keizinan oleh para waris setelah kematian dianggap sah karena larangan itu adalah untuk hak mereka, dan mereka telah melepaskan hak mereka dengan kerelaan, sehingga larangan itu hilang. Dalam beberapa riwayat dari Nabi SAW, baginda bersabda, “Tiada wasiat untuk waris kecuali jika para waris mengizinkannya.””

Analisis

Setelah kita melihat kepada ketiga-tiga pandangan, kita dapat simpulkan bahawa wasiat kepada waris tidak boleh dilaksanakan kecuali setelah mendapat keizinan waris-waris. Sah ataupun tidak wasiat tersebut itu berbeza pandangan antara ulama’, namun jika kita mengambil pandangan mazhab Syafie, maka hukum berwasiat kepada waris adalah harus tetapi ia bergantung keizinan waris. Ini bermakna, wasiat kepada waris tidaklah sampai tahap hukum “haram” iaitu berdosa.

Namun begitu, secara praktisnya pula, wasiat kepada waris adalah terbatal dengan hadith jelas “Tiada wasiat untuk waris”. Wasiat tersebut boleh dilaksanakan di bawah satu bab dalam faraid iaitu takharuj yang bermaksud “pelepasan hak” “lepas hak”. Ini bermakna wasiat dapat dilaksanakan dengan waris yang dapat bahagian banyak dilepaskan dan diberikan kepada waris yang dapat sedikit.

Realiti yang berlaku di dalam masyarakat bahawa waris memaksa waris lain untuk mengikut wasiat yang telah ditetapkan padahal hukum pelaksanaanya tidak boleh kecuali dengan persetujuan waris-waris lain. Oleh itu, antara punca berlakunya perbalahan antara waris ialah wasiat kepada waris yang mana waris tidak faham hukum dan berkeras untuk mengikuti apa yang diwasiatkan.

Wasiat tidak boleh mengantikan faraid. kedua-dua instrumen memiliki peranan masing-masing. Hukum wasiat terpakai kepada bukan waris yang tidak lebih daripada 1/3 harta bersih si mati manakala faraid pula adalah untuk pembahagian yang ditetapkan syarak kepada waris-waris.

Kesimpulan

Apa yang kita perlu fahami bahawa wasiat kepada waris adalah harus. Ia seakan-akan adalah satu cadangan daripada si mati (semasa hidup) kepada waris mengikut hasratnya. Namun begitu, apabila berlaku kematian, ada hukum yang perlu dipatuhi oleh waris-waris yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Tiada wasiat untuk waris”. Secara automatik, wasiat tersebut terbatal. Jika waris-waris bersetuju dengan cadangan si mati, maka wasiat tersebut boleh dilaksanakan dengan kaedah takharuj. Jika ada yang menentang, maka hukum kembali kepada pembahagian faraid.

Bagi menjawab soalan salahkah wasiat kepada waris?

Tidak salah jika pewasiat dan penerima wasiat memahami hukum.

Salah jika pewasiat dan penerima wasiat jahil hukum dan menimbulkan perbalahan dikemudian hari.

Oleh itu, jika berhasrat untuk bagi kepada waris, maka sebaiknya menggunakan instrumen hibah yang mana ia berkuat kuasa semasa hidup lagi berbanding wasiat berkuat kuasa selepas mati bagi mengelakkan perbalahan antara waris.

Allahu A’lam.

Penutup

Alhamdulillah, itulah sedikit perkongsian yang boleh saya kemukakan kepada tuan puan. Jika ada sebarang persoalan, boleh komen diruangan komen ataupun mesej secara personal Abu Nuha.

Rujukan: Dar Ifta’ dan juga pembacaan berkenaan wasiat kepada waris.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang perancangan dan solusi harta ini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Perlukan Solusi?