Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh.
Perkongsian kali ini berkaitan dengan pengesahan hibah, adakah ia wajib atau bagaimana?
Isi Kandungan
Pengesahan Hibah Semasa Hidup
Berdasarkan apa yang dijelaskan oleh guru saya, Tuan Ahmad Termizi Abdullah, saya bersetuju dengan kenyataan beliau berkenaan hal ini sepertimana berikut:
Pengesahan Hibah Selepas Kematian
Pengesahan hibah selepas kematian saya simpulkan sepertimana di dalam poster yang mana ia dilakukan selepas kematian. Namun, adakah pengesahan ini wajib dilakukan?
Untuk pengetahuan tuan puan, setelah berlaku kematian kepada seseorang. Segala harta si mati yang berdaftar ataupun tidak, akan menjadi pusaka.
Adakalanya harta yang berdaftar atas si mati, tetapi hak pemilikan harta tersebut milik orang lain. Sebagai contoh, anak beli kereta atas nama ayah. Apabila ayah meninggal, kereta perlu melalui proses pusaka tetapi harta tersebut tidak difaraidkan dan wajib diserahkan kepada pemiliknya.
Adakalanya harta yang berdaftar atas nama orang lain tetapi hak pemilikan hak si mati. Sebagai contoh, ayah membeli kereta atas nama anaknya. Apabila ayah meninggal, kereta tersebut tidak perlu melalui proses pusaka disebabkan nama di atas geran masih hidup tetapi harta wajib difaraidkan kepada waris-waris.
Setelah tuan puan faham situasi di atas, maka sedikit sebanyak menjawab persoalan tentang hibah. Sepertimana tuan puan tahu bahawa hibah adalah pemberian semasa hidup secara sukarela tanpa balasan yang berkuat kuasa semasa hidup lagi.
Ini bermakna jika hibah yang dilakukan oleh seseorang, maka ia menjadi hak milik kepada penerima semasa hidup pemberi lagi dan terkeluar daripada faraid pemberi sekiranya berlaku kematian.
Oleh itu, bagi memastikan hibah itu benar-benar terlaksana, rukun hibah dan syaratnya wajib dipenuhi. Rukun hibah ialah pemberi, penerima, ijab qabul dan harta hibah. Satu syarat hibah iaitu qabd (penyerahan hak). Pendetailan setiap rukun dan syarat ini akan dikongsi dalam perkongsian lain.
Kembali kepada persoalan, adakah perlu membuat pengesahan hibah? Hal ini sering dipersoalkan apabila ia melibatkan kos, sama ada kos dokumentasi hibah dan juga kos pengesahan hibah.
Poster yang ditunjuk di atas menerangkan sedikit sebanyak tentang hal ini. Oleh itu, saya akan terangkan mengikut situasi.
Situasi Pertama
Sekiranya waris-waris tidak bersetuju dengan hibah yang dilakukan dan tidak memberikan kerjasama dengan baik ataupun wujudnya waris di bawah umur atau waris tidak sempurna akal, maka pengesahan hibah perlu dilakukan untuk mengeluarkan harta hibah tersebut dan diserahkan kepada penerima.
Di dalam situasi ini, kos perlu dikeluarkan. Untuk memudahkan urusan, dokumentasi hibah sangatlah berguna dan melancarkan pengesahan hibah. Antara bukti hibah yang diterima oleh mahkamah ialah dokumentasi hibah tersebut. Sekiranya tiada bukti melalui dokumentasi, penerima hibah perlu datangkan bukti lain seperti saksi dan sebagainya.
Jikalau saksi meninggal dan tiada bukti lain yang dapat dibuktikan, maka harta tersebut akan dikembali dan difaraidkan kepada semua waris.
Situasi Kedua
Sekiranya waris-waris bersetuju untuk serahkan kepada penerima dan tiada halangan lain seperti wujudnya kanak-kanak bawah umur dan lain-lain, maka harta hibah tersebut diserahkan tanpa perlu membuat pengesahan hibah.
Erti kata lain, semasa bicara pusaka, waris-waris melepaskan hak ke atas harta dan diberikan kepada penerima hibah. Hal ini kerana harta tersebut bukan hak si mati lagi dan ia perlu diserahkan kepada pemiliknya sepertimana contoh si anak beli kereta atas nama ayah. Apabila ayah meninggal, kereta perlu melalui proses pusaka tetapi harta tersebut tidak difaraidkan dan wajib diserahkan kepada pemiliknya.
Di dalam situasi ini, kos sangatlah jimat kerana tidak perlu menghabiskan duit untuk dokumentasi dan juga pengesahan hibah. Namun realiti hari ini, adakah kita boleh memastikan waris dari syurga ini terjadi dalam situasi harta tuan puan?
Yang pasti tiada seorang pun boleh menjamin bahawa waris-waris bertindak sedemikian dan juga tiada halangan lain yang menyebabkan perlunya perintah daripada mahkamah.
Kesimpulan
Peribahasa yang sering kita dengar, “Sedia payung sebelum hujan.” Dokumentasi hibah adalah ibarat payung dan situasi yang bakal muncul dikemudian hari ibarat hujan. Jika tiada hujan, kita simpan. Jika ada hujan, kita guna payung tersebut. Berbanding jika kita tidak sediakan payung, maka sudah pasti kita akan basah.
Oleh itu, sebarang kemungkinan di masa depan yang tiada seorang daripada kita tahu apa yang bakal terjadi, maka perlunya kita membuat perancangan awal dengan menyediaka dokumen yang sepatutnya. Punca perbalahan adalah disebabkan tiada perkara yang jelas.
Hibah secara lisan sahaja. Hibah tanpa menyerahkan barang. Hibah tanpa penerima mengetahui harta tersebut dihibahkan kepadanya. Begitu juga hal-hal yang berkaitan dengan rukun dan syarat hibah. Sudah pasti banyak persoalan yang timbul dan dipertikaikan.
Sekiranya hal ini diserahkan kepada yang pakar dan memberikan tunjuk ajar yang sepatutnya serta dibuat dokumentasi sebagai bukti, sudah pasti pertikaian yang wujud akan dileraikan. Semua tindakan bermula daripada pemberi hibah, tuan puan yang menentukan.
Begitu juga jika wujud waris yang tidak boleh lepaskan hak mereka seperti anak bawah umur dan sebagainya menyebabkan perlu kepada pengesahan hibah walaupun waris-waris dewasa lain bersetuju untuk serahkan hak. Ini kerana hak faraid kanak-kanak bawah umur akan diserahkan kepada Amanah Raya ataupun pemegang amanah.
Menjawab soalan di atas, adakah perlu pengesahan hibah di Mahkamah Syariah? Ya dan tidak, melihat kepada situasi di atas. Allahu A’lam.
Alhamdulillah, selesai sudah perkongsian saya pada kali ini tentang pengesahan hibah. Sekiranya tuan puan ada hasrat untuk menghibahkan harta ataupun perancangan lain, tuan puan boleh hubungi saya untuk dapatkan maklumat lanjut.