fbpx

Penjelasan: Bolehkah Hibah Secara Lisan?

Saya, Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan berkaitan dengan pewarisan.

Persoalan

Assalamualaikum Abu Nuha,

Bolehkah hibah dibuat secara lisan sahaja?

Jawapan

Waalaikumussalam, terima kasih kerana sudi bertanya. Soalan ini sangatlah baik dan sukalah saya berkongsi dengan tuan puan jawapan kepada persoalan ini. Apa yang saya faham daripada persoalan ini adalah hibah yang dibuat secara lisan tanpa membuat sebarang dokumentasi hitam putih.

Kita kena faham bahawa hibah bukan produk, bukan jual beli, bukan perjanjian dan sebagainya sepertimana yang disalah fahami di luar sana. Apabila sebut hibah, ramai terbayang “hibah takaful” dan lain-lain.

Hibah ialah suatu akad yang mengandungi pemberian hak milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada hidupnya tanpa balasan.

Ini bermakna hibah salah satu instrumen pemindahan milik daripada si A kepada si B secara sukarela semasa hidup. Berbeza dengan jual beli di mana ada pertukaran, berbeza dengan wasiat yang mana ia diberikan kepada bukan waris yang tidak lebih 1/3 harta, berbeza dengan waqaf yang mana harta tersebut bertujuan untuk dekatkan diri kepada Allah dan sebagainya.

Permindahan hak milik berbeza mengikut instrumen yang digunakan. Namun begitu, setiap instrumen tersebut ada hukum hakam tersendiri yang wajib diketahui supaya tidak tersalah langkah.

Pembahagian Isu

Kembali kepada persoalan, bolehkah hibah dibuat secara lisan sahaja?

Pertama sekali kita perlu faham bahawa hibah ada 4 rukun:

1) Pemberi hibah.

2) Penerima hibah.

3) Harta hibah.

4) Ijab qobul hibah.

Dan satu syarat hibah iaitu qabd (penyerahan hak milik).

Ini bermakna hibah telah sempurna jika rukun dan syarat dipenuhi. Saya sudah jelaskan dalam perkongsian lepas, jemput baca di sini. Walaupun tanpa dokumentasi, tanpa saksi dan sebagainya, hibah tetap sah.

Kedua, kita perlu fahami bahawa harta ini terbahagi kepada beberapa kategori. Ada harta yang berdaftar, ada harta yang tidak berdaftar, ada harta yang nilainya sedikit, ada harta yang nilainya tinggi dan sebagainya. Jika si ayah ingin hibahkan alatan berkebun, tak sama nilai jika hibahkan kebun itu sendiri. Oleh sebab inilah, kita perlu kenal pasti harta yang boleh timbul perbalahan di kemudian hari ataupun tidak.

Ketiga, kita perlu fahami bahawa dokumentasi, saksi dan lain-lain bertindak sebagai bukti bahawa berlakunya perkara tersebut. Tambahan lagi, adakah bukti yang kita miliki bersifat kekal ataupun akan hilang. Sebagai contoh saksi, sampai masa mungkin saksi meninggal dunia atau nyanyuk ataupun juga tidak memberikan kerjasama.

Situasi-Situasi

Setelah saya bawakan ketiga-tiga perkara tersebut, saya datangkan situasi berikut:

Situasi (1): Sekiranya si ayah hibahkan harta yang tidak berdaftar atau nilainya biasa sahaja, kemungkinan besar tidak berlaku perebutan harta, maka cukuplah hibah secara lisan. Sebagai contoh si ayah hibahkan komputer riba kepada anak.

Situasi (2): Sekiranya si ayah hibahkan harta yang berdaftar atau harta nilainya agak tinggi, kemungkinan besar akan berlaku pertikaian selepas kematian, maka perlulah sediakan bukti yang boleh membuktikan hibah tersebut. Sebagai contoh, tanah, kereta, barang kemas dan sebagainya.

Dokumentasi

Ini kerana mahkamah akan menilai melalui bukti-bukti yang wujud. Dokumentasi hibah adalah salah satu bukti yang kukuh dan kurang risiko kehilangannya berbanding saksi yang mungkin meninggal awal dan sebagainya. Setakat ini lebih 400 kes pengesahan hibah yang dibawa oleh Wasiyyah Shoppe Berhad dan kesemuanya berjaya disahkan oleh mahkamah syariah.

Kini, Wasiyyah Shoppe Berhad memperkenalkan dokumentasi digital pertama di dunia dan yang menariknya diperakui serta digunapakai sebagai bukti di Mahkamah Syariah. Oleh itu, risiko kehilangan bukti dengan dokumentasi dapat dikurangkan lagi. Sebelum ini dokumen fizikal boleh hilang, terbakar atau rosak disebabkan air.

Kesimpulan

Hibah secara lisan adalah sah tetapi jika ada pertikaian, maka hanya mahkamah boleh memutuskan hibah tersebut sah ataupun tidak. Sekiranya tiada bukti yang dapat dibawa dan mahkamah melihat bahawa hibah tersebut tidak sah, maka keputusan hakim diguna pakai dalam situasi ini. Penerima hibah perlu kembalikan harta tersebut dan dibahagikan ikut faraid. Berbeza jika tidak berlaku pertikaian, harta yang telah dihibahkan boleh diserahkan kepada penerima tanpa perlu buat pengesahan hibah dan proses pusaka dapat dibuat dengan lancar. Namun, adakah kita pasti waris-waris dapat berbuat demikian? Masing-masing boleh ada jawapan tersendiri.

Allahu A’lam.

Penutup

Alhamdulillah, berakhir sudah perkongsian saya tentang hibah secara lisan. Semoga perkongsian ringkas ini membantu memberikan solusi kepada tuan puan. Sekiranya tuan puan ada sebarang perancangan harta iaitu hibah, wasiat, amanah dan sebagainya, jangan segan untuk hubungi Abu Nuha (+6014-5241281).

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang perancangan dan solusi harta ini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Perlukan Solusi?