Saya, Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan harta umat Islam.
Isi Kandungan
Persoalan:
Assalamualaikum Abu Nuha,
Sahkah hibah tanpa tukar nama?
Jawapan:
Waalaikumussalam, terima kasih atas soalan baik. Sebenarnya terlalu ramai yang bertanya tentang hal ini. Sebelum itu, ini adalah perkongsian tentang hibah harta bukan hibah takaful. Insya Allah saya cuba jelaskan dengan satu analogi mudah.
Aliff dan Alifah bercinta dan ingin berkahwin. Namun mereka buat keputusan untuk berkahwin cara kampung. Pendaftaran perkahwinan tidak buat. Semasa majlis kahwin tersebut, pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, 2 orang saksi dan berlaku ijab qabul dengan jayanya. Adakah perkahwinan aliff dan alifah tidak sah?
Sudah tentu jawapan yang keluar adalah “sah” disebabkan semua rukun nikah tersebut dipenuhi, maka perkahwinan tersebut adalah sah. Namun, dari segi undang-undang adalah salah dan dikenakan denda. Selepas daripada itu, jika ingin daftar nikah, maka perlu kepada pengesahan nikah. Jika semua rukun nikah dipenuhi, maka pengesahan nikah diluluskan.
Tuan puan, ini bermakna pelaksanaan nikah dan undang-undang yang ditetapkan adalah 2 perkara yang berbeza. Pernikahan sah jika cukup rukunnya manakala pendaftaran nikah perlu melalui saluran yang betul. Maka begitulah kes hibah yang mana jika cukup rukun dan syarat hibah, maka terlaksanalah hibah tersebut.
Apakah Rukun Dan Syarat Hibah?
Kita mempunyai 4 rukun hibah:
Pertama, pemberi hibah.
Kedua, penerima hibah.
Ketiga, harta hibah.
Keempat, ijab qabul hibah.
Satu syarat hibah iaitu qabd (penyerahan hak).
Tukar Nama
Persoalan yang timbul, bagaimana pertukaran nama? Jika tuan puan memahami kes nikah di atas, maka soalan ini telah terjawab yang mana urusan pertukaran nama adalah berkaitan dengan undang-undang yang ditetapkan. Hibah tetap sah jika memenuhi rukun dan syarat hibah manakala urusan pertukaran nama perlu melalui proses sama ada pertukaran terus semasa hidup dengan borang 14A atau dilakukan selesai kematian dengan proses pusaka.
Pertukaran nama selepas kematian perlu melalui proses pusaka antara 3 tempat iaitu Amanah Raya, Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkmah Tinggi Sivil. Tuan puan boleh baca terperinci di dalam perkongsian di sini. Bagaimana pula dengan harta dihibahkan jika perlu melalui proses pusaka?
Situasi-Situasi
Jawapan kepada hal ini antara 2 situasi:
Situasi pertama, waris-waris dapat beri kerjasama dengan baik untuk pengurusan pusaka dan sedia untuk lepaskan hak harta yang telah dihibahkan kepada penerima hibah. Situasi ini sangatlah jimat kerana urusan pusaka dapat diselesaikan dengan baik dan tidak perlu kepada pengesahan hibah.
Situasi kedua, waris-waris tidak dapat beri kerjasama dengan baik, berselisih antara mereka dan tidak bersetuju dengan hibah tersebut. Maka situasi ini perlu lalui pengesahan hibah di Mahkamah Syariah untuk mengeluarkan harta tersebut daripada pusaka. Situasi ini perlu mengeluarkan kos yang agak banyak.
Pencerahan
Maklumat terkini (tahun 2024) dan mungkin akan bertambah pada masa hadapan, kos guaman untuk pengesahan hibah antara RM8,000 sehingga RM10,000 dan tidak campur lagi persen nilai hartanah dan sebagainya. Hal ini sangat membebankan jika pertikaian berlaku. Solusi bagi masalah ini, Wasiyyah Shoppe Berhad telah menyediakan dokumentasi hibah dan juga khidmat guaman dengan kos yang sangat murah.
Namun begitu, perancangan ini perlu dibuat semasa hidup lagi, barulah penjimatan tersebut dapat dilakukan. WSB memberikan 2 pilihan iaitu pra hibah dan juga hibah komprehensif. Pra hibah adalah dokumentasi hibah sahaja, jika memerlukan pengesahan hibah, maka penerima hibah perlu keluarkan kos. Hibah komprehensif pula adalah dokumentasi hibah dan juga khidmat guaman.
Tuan puan perlu tahu yang pra hibah disediakan untuk pelbagai jenis harta, hibah tabung haji, hibah ASB, hibah barang kemas, hibah kereta dan sebagainya manakala hibah komprehensif pula adalah untuk hartanah sahaja disebabkan ia sukar diselesaikan kecuali dengan perintah mahkamah.
Apapun, asas kepada perancangan hibah yang urusan pertukaran hak milik selepas mati adalah dokumentasi hibah. Dokumentasi hibah adalah bukti yang paling kuat diterima oleh Mahkamah Syariah berbanding bukti-bukti lain disebabkan ia jelas tertulis di dalam dokumen. Bukti lain seperti saksi, jika saksi masih hidup, ingatan masih baik dan bagi kerjasama yang baik, maka boleh dijadikan bukti. Jika sebaliknya, maka hibah sukar dibuktikan.
Oleh itu, pra hibah sudah cukup menjadi ia bukti pelaksanaan hibah telah terlaksana. Jika tuan puan penerima hibah, jangan biarkan hibah tersebut hibah secara lisan sahaja. Tidak dinafikan jika hibah tersebut cukup rukun dan syarat, ia terlaksana. Namun, jika diminta bukti, apakah bukti yang boleh menyokong tuan puan ketika itu?
Kos pra hibah tidak mahal berbanding kesulitan yang perlu dihadapi selesai kematian arwah. Lebih banyak kos terpaksa dikeluarkan, masa pula banyak dihabiskan untuk naik turun mahkamah, emosi terganggu dan sebagainya. Adakah ia berbaloi? Nasihat saya, perancangan harta dengan instrumen hibah perlu dilaksanakan dengan cara yang betul supaya tidak timbul pertikaian. Jika timbul sekalipun, ia dapat diselesaikan dengan baik.
Kesimpulan
Pelaksanaan hibah dan pertukaran nama adalah 2 perkara berbeza. Hibah dikira sah jika memenuhi rukun dan syarat hibah walaupun nama belum ditukar lagi. Namun begitu, hibah ini perlu melalui jalan yang betul supaya tidak timbul masalah pada kemudian hari. Dokumentasi hibah perlu dibuat!
Allahu A’lam.
Penutup
Alhamdulillah, maka berakhirlah perkongsian saya kali ini berkaitan dengan hibah. Sekiranya tuan puan ada hasrat perancangan harta, saya boleh bantu tuan puan. Sila hubungi Abu Nuha (+0145241281). Semoga bermanfaat.